MANFAAT KEPADA KOMUNITI

Kelab Bola Sepak Setiawangsa Rangers telah menganjurkan program Tunas Mentari yang menggabungkan konsep pendidikan dan sukan bolasepak. Program ini memberi impak kepada komuniti setempat untuk melahirkan insan yang berilmu dan aktif di dalam sukan. Selain itu, kelab juga telah menganjurkan Karnival Sukan Setiawangsa yang melibatkan kesemua golongan masyarakat yang terdiri daripada kanak-kanak sehingga dewasa. Antara program yang telah dilaksanakan adalah Fun Run 5km, Kejohanan Bola Sepak bawah 12 tahun, Pertandingan Basikal Tolak dan Kejohanan Bola Keranjang 3 sebelah.

KLINIK BOLASEPAK BERSAMA WAN KUZAIN

Kelab Bola Sepak Setiawangsa Rangers telah menganjurkan Klinik Bola Sepak bersama Wan Kuzain pada 5hb Disember 2019. Program ini di bawah Kedutaan Amerika Syarikat. Wan Kuzain adalah Pemain Bolasepak yang bermain di Liga Amerika Syarikat Major League Soccer (MLS). Sebelum ini, Wan Kuzain telah menyertai kem latihan bolasepak Malaysia bagi persediaan menghadapi Sukan Sea di Filipina.

Wan Kuzain telah hadir ke Gelanggang Futsal Cruyff Court di PPR Kg Baru Air Panas, Setapak untuk melancarkan Program Klinik Bolasepak. Wan Kuzain merasmikan program tersebut diiringi oleh Yang Berhormat Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Setiawangsa merangkap Penaung Kelab Bola Sepak Setiawangsa Rangers. Turut bersama Encik Khushairi Aizad Jamalludin, Presiden dan Kedutaan Amerika Syarikat.

Seramai 25 pemain telah mengikut klinik bola sepak ini dan diajar oleh Wan Kuzain. Teknik pengajaran berkaitan asas bolasepak seperti Passing, Dribbling, Juggling, Running, Shooting, & Endurance.

TUNAS MENTARI SETIAWANGSA RANGERS

Tunas Mentari Setiawangsa Rangers adalah program pembelajaran yang menggabungkan Pendidikan dan Kokurikulum iaitu Sukan khususnya bola sepak. Pada permulaan ini, progam ini akan memberi tumpuan kepada kumpulan sasaran yang berumur 9 tahun hingga 11 tahun. Kelab Bola Sepak Setiawangsa Rangers memainkan peranan penting bagi memberi pendedahan ilmu pengetahuan Akademik dan bola sepak kepada anak-anak di Parlimen Setiawangsa khususnya kawasan yang telah dikenalpasti.

— TUNAS MENTARI (KLINIK BOLASEPAK)

Pelaksanaan Program Klinik Bola Sepak adalah program pembelajaran asas bola sepak. Program ini akan mengajar teknik awalan bola sepak seperti Passing, Dribbling, Juggling, Running, Shooting, & Endurance.

— TUNAS MENTARI (TUISYEN)

Pelaksanaan Program Pendidikan akan mewujudkan pusat tuisyen di kawasan PPR Kg. Air Panas. Program ini memberi tumpuan kepada subjek asas seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

KEJOHANAN BOLA SEPAK

Pada 3hb Mac 2019, Kelab Bola Sepak Setiawangsa Rangers telah menganjurkan Kejohanan Bola Sepak bawah 12 Tahun dan bawah 17 tahun. Sebanyak 12 pasukan telah menyertai kejohanan ini dan seramai 200 pemain terlibat sepanjang kejohanan berlangsung.

Kejohanan ini diadakan bertujuan untuk mengasah bakat-bakat muda dan memberi pendedahan kepada pemain dalam kejohanan bola sepak. Selain itu, kejohanan ini memberi peluang kepada pemain untuk menunjukkan bakat sedia ada dan untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Kelab Bola Sepak Setiawangsa Rangers telah bekerjasama dengan Persatuan Penduduk Kg. Baru Air Panas dan Yayasan Hasanah.

KARNIVAL SUKAN SETIAWANGSA

Pada 26hb Oktober 2020, Kelab Bola Sepak Setiawangsa Rangers telah menganjurkan Karnival Sukan Setiawangsa bersempana Bulan Sukan Negara tahun 2019. Kelab Bola Sepak Setiawangsa Rangers memainkan peranan penting menjadi penganjur utama di kawasan Setiawangsa dengan kerjasama Pejabat Parlimen Setiawangsa, Pejabat Belia dan Sukan Kawasan Setiawangsa, Agensi-agensi kerajaan, NGO, Majlis Perwakilan Penduduk, sekolah-sekolah, Institut Pengajian Tinggi dan persatuan-persatuan.

Antara program dan aktiviti yang akan dilaksanakan adalah Karnival Sukan Bolasepak Bawah 12 tahun, Fun Run 5KM, Pertandingan Basikal Tolak, Pertandingan Basketball 3 on 3, Pameran dan Gerai Jualan, Persembahan Artis dan Cabutan Bertuah. Karnival ini melibatkan semua lapisan umur yang boleh disertai.

Matlamat program ini adalah menggalakkan masyarakat aktif dalam aktiviti sukan dengan tujuan melahirkan insan yang cerdas, cergas dan sihat. Selain itu, menanam serta memupuk kesedaran mendalam kepada masyarakat setempat bahawa sukan sebagai unsur bagi menjana kesihatan secara berterusan dan menjadikan sukan sebagai budaya dalam kehidupan seharian.

KEJOHANAN BOLA SEPAK PIALA NIK NAZMI BAWAH 16 TAHUN

Pada 1hb Disember hingga 22hb Disember 2018, Kelab Bola Sepak Setiawangsa Rangers telah menganjurkan Kejohanan Bolasepak Piala Nik Nazmi Bawah 16 Tahun di padang Kompleks Sukan Setiawangsa. Kejohanan ini hamper berlangsung selama sebulan yang disertai oleh 240 pemain terlibat. Kejohanan ini dapat mencungkil bakat-bakat baru yang boleh diketengahkan di peringkat yang lebih tinggi. Kejohanan ini melibatkan 12 pasukan bertanding yang dibahagikan kepada 4 kumpulan.

Kelab Bola Sepak Felda United menjadi Juara dalam Edisi Pertama Piala Nik Nazmi selepas menewaskan Kelab Sukan Hotspurs Air Panas dengan jaringan 2-0. Kejohanan ini dapat mengetengahkan bakat-bakat baru dan memberi pendedahan kepada pemain-pemain untuk bersaing secara sihat di dalam kejohanan ini. Kejohanan ini mendapat liputan daripada media cetak dan media elektronik dan merupakan kejohanan yang pertama yang telah diadakan oleh Kelab Bola Sepak Setiawangsa Rangers.